PETALING JAYA – Orang ramai serta pihak korporat dialu-alukan untuk menyumbang kepada tabung pembinaan Masjid Baiturrahman Alam Sari, Kajang yang kini dalam proses pembinaan.
Pengerusi Masjid berkenaan, Datuk Sayed Jaafar Sayed Ibrahim berkata, kos keseluruhan masjid yang mampu menampung kira-kira 4,000 jemaah itu adalah sekitar RM25juta dan dijangka siap pada tahun 2024.
“Pihak kami sudah mendapat dana terkumpul hampir mencecah RM15 juta. Kita masih memerlukan dana kira-kira RM10 juta untuk melengkapkan proses pembinaan.
“Kita sentiasa mengemaskini jumlah kutipan dana di laman www.baiturrahman.my. Malah kalau ada yang bermurah hati mahu menderma atau menginfak boleh layari pautan sama,”katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Sayed Jaafar berkata, jika dana atau peruntukan susah mencukupi, pihaknya tidak akan menerima lagi sumbangan bagi mengelakkan ia melebihi peruntukan yang diperlukan.
“Sesuai dengan rata-rata penduduk yang hampir 100 peratus beragama Islam, masjid ini akan menjadi tumpuan penduduk sekitar dan luar dalam melaksanakan pelbagai ibadah dan aktiviti bermanfaat.
“Masjid ini dibina di tapak seluas 3.51 ekar menggunakan khidmat pemaju I&P Sdn Bhd iaitu anak syarikat SP Setia Sdn Bhd bernaung di bawah Permodalan Nasional Berhad,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa lawatannya pada 26 Mac lalu berkata, masjid itu akan menjadi mercu tanda baru untuk kawasan itu.
“Pihak kerajaan negeri juga akan mencuba mencari lebihan dana diperlukan. Malah pada masa sama, pihak pengurusan masjid juga akan meneruskan kutipan yang dilakukan,”katanya.-KOSMO! ONLINE