PETALING JAYA – Setiap tahun setibanya bulan Ramadan, kehadiran Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sering ditunggu-tunggu oleh orang ramai khususnya umat Islam.
Mereka menantikan pengumuman beliau dalam mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi tahun tersebut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, selain keterujaan orang ramai terhadap pengumuman berkenaan, warna baju Melayu yang bakal dipakai oleh beliau pada pengumuman malam ini menjadi topik perbincangan pengguna media sosial.
Ini kerana, setiap tahun Syed Danial akan memakai sepasang baju Melayu lengkap dengan warna yang berbeza-beza.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter, Faiz Razali membuka soalan menanyakan warna baju pilihan beliau tahun ini dan meminta orang ramai berkongsi jawapan masing-masing.
“Untuk pengumuman puasa malam ini, apakah warna baju Melayu pilihan Tan Sri Syed Danial, kita lihat siapa yang tepat,” ciapnya.
Selain itu, di Facebook pula, pelbagai reaksi diberikan oleh pengguna sehingga ada yang membuat pertandingan dengan menawarkan hadiah bernilai RM10 bagi jawapan pertama yang betul.
“Setiap tahu, pasti baju Melayu yang dipakai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan berbeza, dan untuk tahun ini orang pertama teka betul, aku beri RM10, janji,” tulis Ghazali Samad.
“Rasanya malam ini, dia pakai merah jambu la atau warna kuning air,” komen seorang pengguna.
Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Jumaat, 1 April hari ini bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.- KOSMO! ONLINE