KOTA TINGGI – Tidak sampai 24 jam ribut melanda, mangsa bencana alam di dua buah penempatan iaitu Kampung Mawai Baru dan Kampung Seluyut pagi ini menerima bantuan segera dikurniakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bukan sahaja sumbangan segera, baginda juga bertitah agar rumah-rumah dikenalpasti mengalami kerosakkan teruk akan dibaiki segera dengan kos pembaikan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
“Saya telah menitahkan Mejar Cina Datuk David Wong supaya segera ke lokasi kejadian bagi melihat rumah-rumah yang terjejas serta memulakan kerja-kerja pembaikan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam kediaman beberapa penduduk rosak apabila bumbung diterbangkan angin kencang disusuli hujan lebat.
David Wong, berkata sebanyak tujuh rumah telah dikenalpasti mengalami kerosakan teruk dibahagian bumbung dan kerja-kerja pembaikan sudah pun bermula tengah hari tadi.
“Pemilik-pemilik rumah antaranya melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal yang tidak bekerja serta tidak mempunyai punca pendapatan tetap,” katanya.-KOSMO! ONLINE