PETALING JAYA – Portal pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka sejak pagi tadi tergendala dan tidak dapat diakses buat sementara waktu.
Selain itu, tinjauan Kosmo! di laman sosial mendapati proses pengaktifan i-akaun turut tergendala di seluruh Malaysia sejak pagi tadi.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh KWSP berhubung masalah teknikal berkenaan.
Terdahulu, KWSP mengumumkan bahawa ahli yang ingin mengeluarkan simpanan mereka di bawah kemudahan pengeluaran khas dibuat melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my bermula 1 April 2022. – KOSMO! ONLINE