fbpx

Pemuda suka pergi masjid kini terlantar sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ADHAM (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kerusi roda dan lampin pakai buang kepada Muhammad Aqel Azem di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Seorang pemuda yang dahulunya lincah dan rajin ke masjid kini hanya mampu terlantar selepas disahkan menghidap masalah otak belakang yang mengecut hingga membataskan pergerakan hariannya.

Muhammad Aqel Azem Kama Ariffin, 23, dari Taman Sri Saujana di sini sempat menikmati zaman remajanya sebelum kea­daannya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu.

Bapanya, Kama Ariffin Daimon, 55 berkata, walaupun diuji, anak bongsu daripada tiga beradik itu seorang yang kuat kerana tidak bersedih dan stres serta boleh menerima segala ketentuan ke atasnya.

“Ketika sihat, dapatkan dia menikmati zaman remaja dengan berkawan dan bermain. Dua lagi abangnya sudah berkahwin.

“Sakitnya datang secara perlahan dan tidak kurus seperti ini. Dahulu dia boleh tolak kerusi roda sendiri dan pandai me­nguyah makanan cuma sejak tiga tahun ini kesihatannya merudum hingga tidak mampu lagi bercakap,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, Muhammad Aqel Azem dikunjungi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang bertanya khabar dan menyerahkan sumbangan kerusi roda dan lampin pakai buang.

Menurut Kama Ariffin, anak­nya menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tambahnya, hanya dia dan isteri Banon Hassan, 55, yang memahami bahasa anak­nya itu sekiranya dia mahukan sesuatu.

“Ketika sihat, Muhammad Aqel gemar ke masjid hinggakan orang bertanya mengapa dia sudah lama tidak kelihatan menunaikan solat di situ. Mereka kemudian faham selepas saya maklumkan apa yang terjadi kepadanya,” katanya.

Ujar Kama Ariffin, anaknya juga tidak boleh duduk terlalu lama dan hanya terbaring di katil selain menonton televisyen sahaja.

“Setiap hari kami melakukan terapi terhadap Muhammad Aqel dengan mengurutnya dengan lembut agar sendinya tidak kejung,” katanya yang berterima kasih di atas sumbangan Dr. Adham.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 01200-41-000141381 milik Muhammad Aqel Azem atau menghubungi talian 019-746 5829. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI