fbpx

Abang tawar RM12,000 jika temui Acap sebelum raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai terakhir Acap sebelum hilang pada 2019.

PETALING JAYA – Misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hasan, 30, sejak 2019 masih belum terjawab sehingga ke hari ini selepas dia dilaporkan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) di Gua Tempurung.

Namun, keluarganya tetap giat menjalankan misi mencarinya tanpa merasa penat kerana mereka masih yakin Ashraf atau mesra dikenali sebagai Acap masih lagi hidup.

Semalam, abangnya memuat naik hantaran di Facebook menggunakan nama akaun Denny Lang menawarkan ganjaran berjumlah RM12,000 sekiranya mana-mana pihak dan individu berjaya menemui Acap sebelum menjelang bulan Syawal akan datang.

“Siapa yang berjaya menemui adik saya, Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak RM12,000,” katanya.

Sementara itu, Denny turut meluahkan rasa kesal apabila masyarakat sering mengaitkan kehilangan adiknya itu dengan alam budian sehingga ada yang mengatakan Acap telah berkahwin dengan makhluk halus di alam sana.

Tangkap layar Facebook Denny Lang.

Jelasnya lagi, terdapat segelintir pihak pesohor media sosial mengambil kesempatan dengan memuat naik video bercerita tentang adiknya seolah-olah mereka mengetahui situasi sebenar yang berlaku sedangkan ia tidak benar sama sekali.

“Ada yang kata dia lari ada yang kata dia berkahwin dengan bunian dan tak nak balik, ada pula yang kata ditangkap jin kerana mencuri batu makan siput dan macam-macam lagi.

“Semua ini berpunca dari kandungan nakal pihak ‘YouTuber’ dan ‘influencer’ yang ketandusan modal idea sengaja mengetengahkan isu-isu panas rekaan supaya video mereka mendapat sambutan, tapi tiada langsung hasil,” luahnya.

Sehubungan itu, Denny berharap agar segala khabar angin serta andaian yang tidak masuk akal mengenai Acap segera dihentikan kerana keluarganya masih bersedih menunggu kepulangan adiknya itu.

“Di samping keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba, sebagai abang sulung dalam keluarga nak kata pada semua sudah sudah lah, kitaran hidup kita ini pendek sahaja dan musibah sebegini boleh terjadi pada siapa sahaja.

“Jika tidak kepada diri sendiri mungkin boleh terkena pada anak isteri atau nasab keturunan. Semoga kita dilindungi Allah terhindar dari segala bencana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI