PETALING JAYA – Bursa aset digital, Luno menyaksikan peningkatan pengguna wanita di negara ini sebanyak tujuh kali ganda daripada 16,000 pada 2020 kepada lebih 120,000 pada 2021, memperlihatkan trend positif untuk pelaburan aset digital dalam kalangan wanita Malaysia.
Jumlah transaksi pengguna wanita turut meningkat 12 kali ganda tahun-ke-tahun daripada RM170 juta kepada lebih daripada RM2 bilion.
Majoriti pengguna wanita Luno membeli kriptowang untuk tujuan pelaburan, manakala selebihnya adalah bagi perdagangan, penghantaran dan penerimaan serta dan pembayaran.
Sebahagian besar daripada aktiviti transaksi melibatkan golongan berusia 30-39 tahun (33 peratus), diikuti kumpulan berumur 25-29 tahun (25 peratus), 18-24 tahun (17 peratus) dan 40-49 tahun (16 peratus) daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perakaunan, pentadbiran serta pengilangan dan pembuatan.
Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, aset digital membuka peluang baharu serta mampu memberi manfaat dan menyediakan keterangkuman kewangan buat golongan wanita.
“Penglibatan ramai wanita Malaysia dalam pelaburan aset digital adalah sesuatu yang amat menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Luno merupakan bursa aset digital pertama yang dikawal selia di bawah Suruhanjaya Sekuriti, menawarkan platform selamat dan dilindungi untuk rakyat Malaysia melabur dalam mata wang kripto.
Syarikat kriptowang global yang berpangkalan di London itu memiliki lebih sembilan juta pelanggan di lebih 40 buah negara.
Menurut Chai, pihaknya komited untuk membimbing orang ramai mengenai kelebihan aset digital sebagai pelaburan alternatif dan membantu meluaskan kesedaran mengenai aset digital.
“Kami menyediakan siri webinar khusus untuk wanita, iaitu Women-in-Crypto bagi memastikan akses lebih mudah pada platform kami serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyertai bidang ini,” ujarnya.