fbpx

Badak sumbu hampir pupus lahir di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR anak badak Sumatera dilahirkan di Taman Negara Way Kambas di Sumatera, Indonesia pada 24 Mac lalu. - Kementerian alam sekitar dan perhutanan Indonesia

JAKARTA – Seekor badak sumbu Sumatera yang sangat jarang ditemui, dilahirkan dalam kurungan di sebuah tempat perlindungan badak sumbu di Indonesia, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Pemerintah Indonesia menyifatkan kelahiran itu sebagai kejayaan usaha pemuliharaan yang bertujuan menyelamatkan haiwan terancam itu daripada kepupusan.

Badak sumbu betina itu dilahirkan di Santuari Badak Sumatera dalam Taman Negara Way Kambas, wilayah Lampung Sumatera pada 24 Mac lalu, demikian menurut Kementerian Alam Sekitar Indonesia.

“Kelahiran badak Sumatera adalah berita baik di tengah-tengah usaha pemerintah Indonesia dan rakan-rakan kongsi untuk meningkatkan populasi badak Sumatera,’’ kata Ketua Pengarah Pemuliharaan di Kementerian Alam Sekitar, Wiratno dalam satu kenyataan.

Badak sumbu Sumatera yang merupakan spesies badak sumbu terkecil dunia pernah berkembang populasinya di seluruh Asia Tenggara tetapi kini hanya ditemui di sesetengah kawasan di Sumatera utara dan Pulau Borneo.

Kurang daripada 80 ekor badak Sumatera yang masih hidup, demikian menurut Yayasan Badak Antarabangsa (IRF). 

Pada 2019, badak Sumatera terakhir Malaysia dilaporkan mati di Santuari Badak Borneo. Badak sumbu Sumatera pernah diisytiharkan pupus di Malaysia pada 2015 tetapi kematian badak betina yang dipanggil Iman itu menjadikan spesies itu pupus sepenuhnya di negara itu.

Kelahiran anak badak itu di Indonesia pada minggu lalu, menjadikan jumlah badak sumbu Sumatera di tempat perlindungan itu meningkat kepada lapan ekor.

Kehamilan badak Sumatera bukan mudah. Induk badak betina itu yang bernama Rosa, gagal dalam lapan kehamilan sebelum ini. Induk jantannya, Andatu adalah badak sumbu pertama yang pernah dilahirkan dalam kurungan di Indonesia, kata IRF. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI