fbpx

Rumah David Beckham dimasuki perompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
David dan Victoria tidak menyedari perompak memecah masuk rumah mereka ketika itu. - The Sun/thisischriswhite.com

LONDON –  Sebuah rumah agam milik pasangan selebriti, David dan Victoria Beckham, dipecah masuk oleh perompak bertopeng ketika mereka berada di kediaman tersebut, lapor akhbar The Sun semalam.

David dan Victoria serta anak mereka, Harper, 10, tidak menyedari kejadian tersebut. Perompak itu memecah masuk ke dalam sebuah bilik tidur di  tingkat atas kediaman mereka di Holland Park, London Barat.

Kejadian pada 28 Februari lalu itu hanya disedari oleh anak lelaki mereka, Cruz, 17, selepas pulang daripada bertemu rakan-rakannya.

Cruz dilaporkan menyedari bilik tidur itu berada dalam keadaan bersepah seperti telah digeledah dengan kaca tingkap bertaburan di atas lantai.

David kemudian menelefon talian kecemasan sebelum memeriksa rumah agam bernilai £40 juta (RM221 juta) itu.

Perompak bertopeng itu dilaporkan lesap bersama pelbagai barangan elektrik dan jenama mewah bernilai beribu-ribu pound.

Menurut sumber, rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan pencuri itu  memanjat pagar di hadapan rumah mereka.

“Dia kemudian memanjat ke tingkat atas dan memecah masuk menerusi tingkap sebuah bilik tidur tambahan,” kata sumber tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap Polis Metropolitan London mengesahkan kejadian tersebut.

“Rompakan itu dipercayai berlaku antara pukul 8.30 malam dan 11.30 malam (waktu tempatan) pada hari Isnin, 28 Februari.

“Beberapa barangan telah dicuri. Tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI