PUTRAJAYA – Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempertingkatkan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk sempadan susulan pembukaannya pada 1 April ini.
Tindakan tersebut adalah bagi memastikan isu-isu berkaitan ketirisan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi dapat dibanteras sepenuhnya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan penguatkuasaan itu akan dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, katanya, turut terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Masyarakat turut disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak.
“Ia adalah bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi kerana boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KPDNHEP sentiasa komited di dalam memastikan isu penyelewengan minyak masak bersubsidi yang berlaku di dalam negaradapat diatasi dengan lebih tegas dan efektif.
“Tindakan pemeriksaan dan pemantauan yang lebih menyeluruh sentiasa dilakukan termasuklah ke atas semua syarikat pembungkusan minyak masak dan kilang penapis minyak masak di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
“Dalam menangani isu penyelewengan dan ketirisan minyak masak bersubsidi ini, KPDNHEP telah melaksanakan operasi khas iaitu OPS GORENG yang bertujuan untuk melakukan pemantauan khusus ke atas syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak di bawah COSS,” katanya.
Jelas beliau, statistik bagi Januari 2018 hingga Februari lalu menunjukkan terdapat sebanyak 401 kes membabitkan kesalahan berkaitan pembekalan minyak masak termasuklah minyak masak bersubsidi melibatkan nilai rampasan berjumlah RM15.57 juta.
“Kes-kes ini telah dihasilkan susulan tindakan penguatkuasaan ke atas pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuklah pengilang, pemborong dan peruncit yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Sebanyak sembilan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) melibatkan nilai pembekuan ke atas aset syarikat berkaitan minyak masak yang telah diambil tindakan berjumlah RM1.79 juta,” ujar beliau.
Tambahnya, KPDNHEP juga telah bertindak tegas menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) dan penggantungan kuota minyak masak bersubsidi oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.
“Berdasarkan statistik sehingga Februari 2022, sebanyak 27 syarikat telah digantung atau dibatalkan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE