PELAKON Nam Joo-hyuk mengakui sewaktu zaman kanak-kanak, dia gemar meluahkan perasaannya terhadap perempuan.
Ketika ditemu bual bersama majalah Esquire baru-baru ini, Joo-hyuk turut berbangga apabila ramai perempuan menerima pengakuan cintanya selama ini.
“Saya pernah berbuat demikian semasa di tadika dan sekolah rendah.
“Jika saya menyukai seseorang, saya akan mengaku dan meluahkan perkara tersebut.
“Ada sesetengah perempuan akan menerima sebab mereka juga menyukai saya,” katanya.
Bagi Joo-hyuk, setiap orang seharusnya berterus-terang tentang perasaan jika menyukai mana-mana individu dan jangan sesekali memendam rasa.
Joo Hyuk juga menjadikan pasangan gandingannya dalam drama Twenty Five Twenty One iaitu Kim Tae-ri yang melakonkan watak Na Hee-do sebagai contoh.
“Kita harus memberitahu seseorang jika menyukainya. Lihatlah Hee-do. Dia tidak menyembunyikan perasaan di dalam hatinya.
“Dia hanya mengaku cintanya terlebih dahulu tanpa mengetahui apa yang berlaku. Yang penting anda perlu mencuba untuk mendapat sesuatu,” ujarnya.