MELAKA – Lebih 200 banduan pra bebas di negeri ini berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dan agensi di bawah program pemulihan dalam komuniti.
Pengarah Penjara Melaka, Roslan Mohamed berkata, jumlah tersebut merupakan angka terkini yang direkodkan dan 40 peratus daripadanya telah ditawarkan penjawatan tetap.
Jelasnya, peluang kedua itu diberikan kepada banduan yang berada di bawah Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen.
“Terkini, lebih 200 banduan pra bebas telah mengikuti program pemulihan dalam komuniti di mana mereka ini tidak dikurung di dalam penjara sebaliknya diberi peluang bekerja bersama masyarakat.
“Antara sektor yang sudi berkolaborasi termasuklah industri perkilangan, restoran dan agensi di bawah kerajaan negeri, malah 40 peratus daripada mereka turut ditawarkan penjawatan tetap,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok Muzium Penjara Malaysia di Muzium Penjara Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua banduan yang menjalani kehidupan bersama komuniti itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk penentuan bagi penempatan. – KOSMO! ONLINE