PETALING JAYA – Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman ,47, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama.
Berita berkaitan: Penyanyi nasyid diberkas, jumpa pokok ganja dalam kondominium
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam prosiding berlainan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin, Yasin mengaku tidak bersalah atas petuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala Yasin diwakili peguam Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff.
Pada 25 Mac lalu Kosmo! Online melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini.
Penahanan dibuat terhadap suspek yang berusia 47 tahun pukul 5.30 petang itu selepas bertindak atas maklumat, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menemui satu bekas plastik berwarna biru atau hitam di dalamnya terdapat dua plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 214 gram di dalam rumah berkenaan.
Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM10,700 dan hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja.
Pemeriksaan di dalam bilik pertama menjumpai 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja selain satu pokok tumbuhan sama di balkoni.
Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish dan wang tunai turut disita. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC.
Suspek mempunyai sejarah terlibat penagihan dadah lebih kurang 10 tahun dan menanam pokok ganja selama dua bulan.– KOSMO! ONLINE