fbpx

‘Pensyarah macam ibu garang, tapi sedia bantu pelajarnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran beberapa bekas pelajarnya yang berkongsi sisi baik beliau yang dianggap seperti seorang ibu garang tetapi penyayang terhadap anaknya.

PETALING JAYA – Seorang pensyarah wanita menjadi tular selepas rakaman memaparkan tindakannya memarahi salah seorang pelajarnya gara-gara tidak memiliki komputer riba.

Video yang mendapat perkongsian tinggi di media sosial telah membuatkan ramai bengang dan kurang senang dengan sikap pensyarah tersebut disebabkan percakapannya terlalu sensitif ketika itu.

Walaupun pelbagai kecaman diberikan kepada pensyarah berkenaan, namun terdapat juga beberapa bekas pelajarnya tampil menyokong tindakannya serta berkongsi sikap sebenarnya yang ramai tidak tahu.

Menurut seorang graduan, Syaif Yusof dalam hantaran di Facebooknya semalam menceritakan pensyarah tersebut pernah mengajarnya ketika di universiti dahulu dan mengakui beliau seorang yang baik hati.

“Saya berdiri untuk Prof, beliau sentiasa seorang pensyarah yang terbaik bagi saya, siapa yang pernah belajar dengannya sahaja yang tahu apa yang berlaku dan bagaimana caranya ketika di dalam kelas dan luar kelas,” tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pelajarnya, Nik Muhammad memaklumkan pensyarah tersebut merupakan seorang yang tegas ketika mengajar, namun perwatakannya akan berubah menjadi lembut dan mesra selepas waktu kelas.

“Macam ibu yang garang, lepas marah anak akan bertukar jadi ibu penyayang pula, mungkin sebab musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tak sempat nak jumpa di luar waktu kelas sebagai ibu penyanyang,” kongsinya.

Tambah Nik Muhammad, ketika masih bergelar seorang pelajar, dia pernah gagal dalam subjek yang diajar pensyarah terbabit dan atas berkat bimbingan beliau terhadapnya, akhirnya dia berjaya sehingga kini.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Riena Zenobia berkongsi kejadian yang berlaku berhubung rakaman yang tular sejak semalam.

“Lepas marah-marah pelajarnya, dia usahakan pelajar tersebut untuk dapatkan komputer riba, pelajar itu pun dah tamat belajar dan pensyarah dah bersara.

“Individu yang kongsi video pun dah padamkan akaun, orang ramai sahaja belum habis buat kerja,” katanya.

Jelasnya, pensyarah tersebut sememangnya seorang yang cepat melenting, mulutnya mudah marah tetapi hatinya sangat baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI