Oleh ABD. RAZAK OSMAN
SUNGAI PETANI – Seorang penagih dadah yang baru melepaskan gian ditahan di sebuah rumah kosong di Kampung Haji Saad di Bukit Selambau di sini semalam.
Lelaki berusia 23 tahun itu merupakan antara 15 individu yang ditahan dalam Ops Cegah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di 14 kawasan dalam daerah Kuala Muda antara pukul 9 pagi hingga 11.45 malam semalam.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak memberitahu, serbuan antaranya dilakukan di sebuah rumah kosong di Kampung Haji Saad yang menjadi sarang penagihan dadah.
“Seorang lelaki berusia 23 tahun masih dalam keadaan khayal ketika ditahan dan dia dipercayai baru melepaskan gian.
“Kita turut menemui satu senjata tajam bersama lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arnida, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
Dalam operasi sama, kata beliau, pihaknya menahan 14 lagi lelaki berusia antara 22 hingga 28 tahun di 14 lokasi antaranya Kampung Banggol dan Kampung Pantai Prai di Sidam Kiri; Bandar Amanjaya di sini, Pekan Atap di Gurun serta Kampung Sungai Pial dan Kampung Bujang di Merbok.
“Kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin,” katanya.
Tambahnya, seramai lapan orang ditahan di lokap Kuala Muda manakala tujuh lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat.
“Kes disisat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya. – K! ONLINE