CHERAS – Kanak-kanak berusia 8 tahun dikenali sebagai Sofia Raniya yang dilaporkan hilang hari ini berjaya ditemui dengan selamat.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Ryana mengesahkan anaknya kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerusi siaran langsung di Facebooknya.
Katanya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu mencari anaknya.
“Saya sepatutnya mengambil anak pulang ke sekolah pada pukul 5.50 petang namun terlewat akibat kesesakan lalu lintas yang menyebabkan saya sampai pada pukul 6.20 petang.
“Sebaik tiba di sekolahnya, saya dapati dia tiada di sekolah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Polis Kuala Lumpur dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi turut mengesahkan adik Sofia Raniya berjaya ditemui dengan selamat.
“Kanak-kanak tersebut telah dijumpai di Holmes pada pukul 9.22 malam. Pusat Kawalan Cheras telah menghantar kereta peronda polis (MPV) untuk mengambil kanak-kanak tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Kanak-kanak tersebut berada di IPD Cheras untuk diserahkan kepada ahli keluarganya,” jelasnya.
Terdahulu, adik Sofia Raniya yang merupakan pelajar sekolah darjah 2 di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan.
Berita mengenai kehilangan pelajar tersebut mula tular dan mendapat perhatian orang ramai sejak petang tadi di media sosial yang turut mendoakan agar adik Sofia berjaya ditemui dengan selamat. – KOSMO! ONLINE.