KUALA LANGAT – Hasrat tiga lelaki yang bertindak sebagai transporter membawa masuk 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak kesampaian apabila dicekup di Jalan Banting – Sepang, Morib di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, kesemua termasuk PATI yang ditahan berusia 25 hingga 58 tahun.
Ini merupakan penangkapan kedua di lokasi sama selang empat hari dengan sebelum ini pada Ahad lalu yang memberkas dua transporter dan 14 PATI.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya terdahulu berjaya mengesan tiga lelaki termasuk dua daripadanya warga asing dalam dua buah kenderaan di lokasi tersebut.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mereka mengaku bertindak sebagai tekong darat atau transporter bagi membawa PATI.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui tujuh lelaki dan enam wanita warga asing bersembunyi di kawasan semak.
“Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan dan tiga telefon bimbit dianggarkan berjumlah RM53,500.
Tegas Rizal, Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta
Imigresen 1963,” katanya. -KOSMO!ONLINE