KOTA BHARU – Polis sudah mengenal pasti pemilik kereta jenis Proton Saga yang menyimpan sebanyak 12 tong minyak diesel sehingga terbakar berhampiran sebuah rumah di Kampung Kedai Lalat di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, berdasarkan semakan, pemiliknya merupakan seorang lelaki warga Thailand beralamat di Tumpat dan dia dipercayai menggunakan kereta itu untuk menjalankan kegiatan penyeludupan bahan api berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut di dalam kereta tersebut turut menemui sebanyak 12 tong mengandungi diesel yang dipercayai menjadi punca kebakaran itu.
“Kesemua tong diesel yang terbakar berada di bahagian penumpang belakang dan but kereta tersebut. Sehubungan itu, polis sedang mengesan suspek dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut Mohd. Suhaimi memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan bahagian luar sebuah rumah yang tidak berpenghuni sejak lima tahun itu mengalami kebakaran kecil.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, pemilik rumah itu berusia 59 tahun dan kini tinggal di Pahang selepas meninggalkan rumah tersebut.- KOSMO! ONLINE