fbpx

Jangan timbul spekulasi kurang enak – KBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD FAIZAL

KEMELUT pemilihan atlet olahraga kuartet 4×100 meter (m) wanita ke temasya Sukan SEA Vietnam mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas timbul pertikaian kurang enak dalam kalangan jurulatih mahupun atlet itu sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi peringatan kepada pemimpin persatuan sukan kebangsaan supaya membuat keputusan bijak terutama dalam pemilihan atlet menjelang ke temasya dwitahunan tersebut.

Meskipun tidak mempunyai niat dalam sebarang urusan terutama pemilihan atlet diputuskan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Ahmad Faizal berharap pemilihan atlet seharusnya dipilih dengan prestasi terbaik.

“Saya mengikuti rapat isu dibangkitkan dan terpanggil untuk mengingatkan pentadbir sukan terhadap tanggungjawab memilih atlet terbaik yang dimiliki bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

“Berdasarkan situasi terkini, ada empat pelari pecut wanita yang berjaya menghasilkan catatan di bawah 12 saat dalam acara 100 meter dan selayaknya dipilih untuk membentuk gandingan kuartet 4×100 meter ke Vietnam.

“Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.62 saat, diikuti Nor Sarah Adi (11.89s), Azreen Nabila Alias (11.90s) serta Fatin Ilyana Mat Nayan dengan catatan 11.97 saat.

“Seharusnyalah prestasi terbaik pada masa kini menjadi ukuran utama untuk pemilihan atlet ini ke Sukan SEA nanti.

“Saya memahami bahawa untuk penyertaan atlet di bawah kategori B ke Sukan SEA, persatuan sukan kebangsaan mempunyai kata pemutus siapa atlet yang mereka pilih. Namun kita tidak sepatutnya lari daripada prinsip pemilihan harus bersandarkan kepada merit pencapaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menambah sekiranya persatuan mempunyai calon tersendiri ia perlu diperjelaskan kepada umum agar tidak timbul salah faham.

“Sekiranya persatuan sukan kebangsaan mempunyai strategi tertentu di sebalik pemilihan seseorang atlet, ia patut diperjelaskan kepada atlet dan umum untuk mengelak daripada salah faham serta tidak timbulnya pelbagai spekulasi tidak enak.

“Saya berharap KOM dan semua persatuan sukan kebangsaan memperhalusi semua aspek ini dan mengambil keputusan terbaik demi kejayaan kontinjen Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI