PETALING JAYA – Bestari, jenama nombor satu Tepung Goreng Ayam di pasaran bakal menyertai Food and Hotel Malaysia (FHM 2022) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 29 Mac hingga 1 April ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ini merupakan pameran kali ketiga yang disertai syarikat untuk terus memperkasakan lagi jenama produk Bestari.
“Syarikat juga bakal mengetengahkan jenama Snek Kacang Kow Kow dan memperkenalkan pelbagai mesin pemprosesan makanan di bawah jenama Synerchem Engineering,” katanya.
FHM 2022 merupakan pameran perdagangan terbesar dan pertama untuk makanan dan hospitaliti (perhotelan) bagi tahun 2022.
Ia merupakan platform yang ideal dalam membuka jalan serta ruang kepada semua pemain industri untuk menyambung semula dan bersedia untuk kembali ke dunia perniagaan dalam era yang mencabar ini.
“Mengunjurkan pasaran tempatan, acara tersebut dijangka mengumpulkan lebih 500 jenama terkenal dan syarikat yang mengambil bahagian serta 8,000 pembeli perdagangan berkualiti.
“FHM 2022 juga turut berpotensi memberi tumpuan menjana hubungan perniagaan baharu dan mendorong inovasi dalam komuniti makanan dan hospitaliti (perhotelan),” jelasnya.
Dianjurkan bersama Malaysian Association Hotels (MAH), Professional Culinaire Association (PCA) dan Malaysian Food and Beverage Executives Association (MFBEA), FHM 2022 juga turut menampilkan elemen baharu yang menonjolkan makanan berasaskan tumbuhan, Industri 4.0 dan produk terbiodegradasi dengan memberi lebih penekanan kepada produk dan perkhidmatan kebersihan. -KOSMO! ONLINE