DAKAR – Ketua Jurulatih Senegal, Aliou Cisse menyeru agar pasukannya tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus mempamerkan prestasi memukau selepas meraih slot automatik ke Piala Dunia 2022 di Qatar pada November depan.
Sebagai rekod, Senegal meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 selepas terikat 1-1 ketika bertemu Mesir pada aksi kelayakan terakhir peringkat playoff di Stadium Abdoulaye Wade awal pagi semalam.
Kata Cisse, anak-anak buahnya memiliki potensi untuk meneruskan pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa dan tidak mustahil mengejutkan pasukan gergasi di saingan Piala Dunia nanti selepas turut bergelar juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Januari lepas.
“Saya rasa ini bukanlah kemuncak prestasi pasukan kami kerana potensi yang dimiliki oleh barisan pemain sangat luar biasa. Kejayaan melangkah ke Piala Dunia hanyalah permulaan bagi membuktikan pasukan mempunyai cita-cita tinggi.
“Kita telah layak pada Piala Dunia edisi 2018 yang lepas tetapi saya pasti penyertaan kami kali ini berbeza kerana pemain sudah memiliki pengalaman selain kejayaan menjuarai AFCON yang lepas turut menyuntik semangat pasukan,” katanya.
Sementara itu, kapten Senegal, Kalidou Koulibaly mengakui barisan pemain telah mempamerkan semangat juang tinggi meskipun sedikit tertekan selepas tewas ketika aksi playoff pertama di Kaherah minggu lalu.
“Secara jujur, ini adalah detik bersejarah buat kami semua kerana bukan mudah untuk menewaskan pasukan berkualiti seperti Mesir. Beraksi di laman sendiri memberikan sedikit kekuatan buat kami dan sudah tentu kami tidak sabar untuk ke Qatar nanti,” katanya. – AGENSI