LONDON – Sukan berbasikal trek di Britain dilihat ‘tegang’ susulan kebenaran penglibatan pelumba transgender, Emily Bridges untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Omnium Kebangsaan yang akan membuka tirai pada Sabtu nanti.
Bridges dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam acara omnium dan akan bersaing merebut kejuaraan bersama juara Sukan Olimpik lima kali, Laury Kenny.
Kini, Bridges yang berusia 21 tahun dari Wales itu sedang menunggu kelulusan rasmi dari badan induk dunia iaitu Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).
Pemenang pingat perak Olimpik Britain, Sharron Davies menentang penglibatan transgender dalam sukan wanita dan keputusan meletakkan lelaki dalam sukan wanita adalah salah.
“Sudah tentu, sukan mesti untuk semua dan Bridges telah berlumba dalam pasukan lelaki selama bertahun-tahun. Malah, dia bersaing dengan pasukan lelaki dengan berjaya tahun lalu.
“Pasti penyertaannya dalam kategori wanita telah merosakkan hak atlet wanita khususnya. Tindakan ini adalah salah dan perlu dihentikan atau kita akan kehilangan bakat generasi wanita akan datang,” kata Davies.
Kenyataan Davies disokong oleh bekas maraton Olimpik 2008, Mara Yamauchi dan menuntut memboikot penaja peribadi atlet tersebut serta British Cycling.
“Sukan ada pelbagai kategori untuk memastikan persaingan yang adil. Kategori itu adalah mengikut jantina, mengikut umur, berat badan dan sebagainya. Sekiranya tiada dalam kategori tersebut, maka dia akan mempunyai kelebihan untuk menjuarainya,” tegas Yamauchi. – AGENSI