IPOH – Kerajaan Perak akan mengadakan sesi perbincangan dan advokasi dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi melihat cadangan meningkatkan had umur perkahwinan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, perbincangan berkenaan akan diadakan melalui Wanita Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah melalui pendidikan, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.
“Saya menyeru semua pihak berkepentingan menyokong usaha kerajaan menangani perkahwinan bawah umur di negeri ini demi menjamin masa hadapan kanak-kanak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE