PUTRAJAYA – Tiga lelaki termasuk seorang warganegara Korea direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.
Difahamkan, dokumen palsu itu adalah bagi mendapatkan pinjaman berjumlah kira-kira 4.2 juta pound (RM23.17 juta) daripada sebuah syarikat antarabangsa yang beroperasi di Kuala Lumpur.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Shah Wira menetapkan dua suspek termasuk pengurus besar tersebut ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 1 April manakala seorang lagi selama lima hari sehingga 3 April ini.
Sumber berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 5 petang dan 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan.
Menurutnya, warga Korea itu adalah pengurus besar di syarikat antarabangsa tersebut dan dipercayai bersubahat bersama dua individu berkenaan.
“Mereka dikatakan membuat pinjaman tersebut bagi tujuan pembelian 24 buah kenderaan terpakai daripada luar negara pada tahun 2015,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE