KAJANG – Seramai tujuh individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes samun sebuah kedai menjual peralatan alat ganti komputer di Bandar Damai Perdana di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 36 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang.
“Kesemua suspek yang ditahan dalam beberapa siri serbuan pada pukul 12.30 tengah malam tadi juga mengaku terlibat dalam kejadian yang disiasat tersebut.
“Kita juga turut merampas tiga buah kereta, sebuah van, lima telefon bimbit, dua komputer riba, laptop dan 36 buah mesin bitcoin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kesemua suspek direman selama lima hari bermula pada Rabu sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut berkaitan kes ini sedang dijalankan.
Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan diserang sekumpulan individu bersenjatakan kayu dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual peralatan alat ganti komputer di Bandar Damai Perdana.
Menurut mangsa, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi sebelum didakwa diserang sekumpulan 15 individu ketika sedang bekerja.
Kesemua suspek bertindak memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan alat ganti komputer yang berada di dalam premis di tingkat satu yang dianggarkan bernilai RM70,000. – KOSMO! ONLINE