PETALING JAYA – Trend pengguna jalan raya yang menggunakan lampu strob pada kenderaan persendirian mereka semakin menjadi-jadi sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Terbaharu, satu rakaman video berdurasi 58 saat yang dikongsi Muhammad Rafie di Facebook miliknya menunjukkan sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang menggunakan lampu strob di bahagian depan dan belakang kenderaan untuk memecut di laluan kanan.
Video tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi dari pengguna media sosial dan rata-ratanya mengkritik tindakan pemandu berkenaan.
“Orang kita ini suka anggap duduk laluan kanan ini santai-santai dengan hanya sebab dah ikut kelajuan, tak semua orang tahu lorong kanan ini untuk memotong,” komen Nick Qareem.
Amir Said pula memberi respon, “Macam kereta iringan kerajaan, tapi tiada pengiring professional dan tak boleh hidupkan lampu strob patutnya.”
Difahamkan, hanya kenderaan rasmi Polsi Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibenarkan mendapat hak laluan (Priority Over Traffic).
Sementara itu, pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Keadah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59. – KOSMO! ONLINE