PASIR MAS – Polis Kelantan akan menempatkan anggotanya di masjid dan surau terpilih di negeri ini sepanjang Ramadan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan jemaah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sedia maklum dengan kelonggaran SOP dalam program keagamaan dan solat berjemaah apabila negara beralih ke fasa endemik.
Katanya, meskipun solat jemaah dibenarkan tanpa jarak mulai 1 April ini, ia tidak bermakna SOP lain bagi mencegah penularan Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka boleh diabaikan oleh orang ramai.
“Oleh itu, kita telah mengarahkan Ketua Polis Daerah, ketua balai dan anggota untuk bersama-sama masyarakat dalam mengimarahkan masjid terutamanya solat tarawih pada Ramadan kali ini.
“Ia merupakan satu langkah agar polis dapat menjalankan pemantauan dan situasi semasa di masjid dan surau,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Pemakaian Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Kelantan kepada 280 penerima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien memberitahu, pemantauan juga akan menumpukan kawasan awam termasuk kaki lima dan lokasi rekreasi bagi memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak sepanjang bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE