SEBERANG PERAI – Sebuah kilang membuat pau dan dim sum di Butterworth di sini didapati beroperasi dalam keadaan amat menjijikkan apabila persekitarannya usang dan dipenuhi sawang.
Lebih memburukkan keadaan apabila tiga ekor anjing peliharaan turut bebas berkeliaran di dalam kawasan premis itu yang beroperasi tanpa lesen.
Haiwan lain seperti tikus, lipas dan lalat turut dikesan berkeliaran selain najis tikus didapati di banyak tempat semasa Ops Tegar hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mendapati premis kediaman yang dijadikan kilang tersebut tidak layak untuk beroperasi kerana pelbagai kesalahan.
“Tahap kebersihan di keseluruhan kawasan premis amat mendukacitakan selain ada tikus, lipas, lalat dan tiga ekor anjing bebas berkeliaran dalam kawasan premis.
“Kita dapati peti ais yang diletakkan daging termasuklah daging babi dipercayai untuk inti pau amat kotor selain diletakkan berdekatan tandas,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan hari ini.
Operasi itu turut disertai wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Sementara itu, menurut Mohd. Wazir, pihaknya mendapati produk berkenaan adalah untuk dipasarkan di kopitiam dan kedai kopi Cina di sekitar kawasan Butterworth di sini.
Menurutnya, selain mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM2,700, pihaknya turut mengarahkan premis itu ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain MBSP mengeluarkan kompaun bernilai RM2,000. – KOSMO! ONLINE