fbpx

Hubungi universiti jika bermasalah -Naib Canselor UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyeru pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran supaya menghubungi fakulti dan universiti itu bagi mendapatkan nasihat atau bantuan lanjut.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pihaknya menyediakan pelbagai dana dan bantuan pendidikan bagi pelajar kurang berkemampuan dalam membantu melancarkan proses pembelajaran mereka.

Katanya, kemudahan itu antaranya dana amanah pelajar selain bantuan pusat zakat dan pihak alumni UiTM.

“Kita amat mengutamakan kebajikan seluruh warga universiti dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi persekitaran pendidikan kondusif.

“UiTM prihatin dengan keperluan para pelajar terutama dalam pembelajaran norma baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu seorang pensyarah UiTM yang tular mengherdik seorang pelajar kerana tidak mampu membeli komputer malam tadi.

Jelas Roziah, pihaknya sudah meneliti isu itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

“UiTM bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti sama ada sengaja atau tidak.

“Kewujudan UiTM adalah membantu golongan tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti,” katanya.

Tambah beliau, UiTM memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“Dalam merealisasikan keberkesanan  pelaksanaan kaedah itu, semua pihak perlu berganding bahu daripada semua aspek,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI