Oleh TOREK SULONG
BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan KRU Entertainment Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk membantu dalam penghasilan karya buku elektronik dan digital (e-buku) dalam kalangan warga universiti berkenaan.
MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr. Noor Azizi Ismail bersama Presiden Eksekutif KRU Entertainment Sdn. Bhd., Datuk Norman Abdul Halim di Dewan Canselori UMK Bachok, di sini, hari ini.
Noor Azizi berkata, menerusi MoA itu, warga UMK termasuk professor, ahli akademik dan penuntut berpeluang menghasilkan pelbagai genre buku untuk diolah dalam bentuk digital agwyang lebih menarik.
“Ia merupakan satu kaedah baharu untuk mencungkil kreativiti pensyarah dan mahasiswa menghasilkan manuskrip akademik dalam bentuk e-buku bagi pasaran global.
“Jabatan Perpustakaan UMK diberi tanggungjawab sebagai penerbit yang memilih sumbangan bahan yang berkualiti manakala KRU Entertainment mengolah paparan digital mengikut minat dan tahap usia pembaca,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
MoA itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK, Dr. Arham Abdullah, Pengarah Urusan KRU Entertainment, Noor Hafeez Noor Hashim dan Ketua Pustakawan UMK, Azman Hashim.
Mengulas lanjut, Noor Azizi berkata, UMK berpeluang menjana pendapatan menerusi penjualan buku digital menerusi platfom Bukoo.com milik syarikat berkenaan.
Menurutnya, langkah itu merupakan langkah serampang dua mata iaitu menyebarkan ilmu secara maya dan menjana pendapatan kepada penulis dan penerbit selari dengan visi UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan.
Jelasnya, setakat ini, sebanyak 172 judul buku ilmiah dan penyelidikan telah dihasilkan dan 25 daripadanya sudah dipaparkan dalam bentuk buku elektronik bagi pasaran global.
Tambahnya, UMK menyasarkan sebanyak 45 lagi buku dan kajian ilmiah akan dipasarkan di platform Bukoo.com sehingga Disember ini.
Sementara itu, Norman ketika ditemui berkata, MoA itu merupakan kolabrasi pertama syarikatnya bersama universiti dan ia bakal dikembangkan dengan beberapa universiti lain.
Menurutnya, sasaran perniagaan buku elektronik dan digital itu juga merentasi pasaran global yang turut dilanggan oleh pembaca seluruh dunia.
“Bukan setakat buku akademik dan penyelidikan ilmiah, kita juga menerima buku biografi, novel dan buku agama untuk dipasarkan.
“Bergantung kepada keperluan pelanggan sama ada ingin mendapatkan bahan untuk dibaca atau membeli buku yang lengkap dengan audio visual yang memberi kemudahan melihat dan mendengar,” katanya.
Norman berharap usahasama itu bukan hanya untuk menjana pendapatan malah turut menambah khazanah ilmu negara dalam bentuk yang lebih canggih selari teknologi terkini. – K! ONLINE