MANILA – Filipina mengadakan latihan tentera yang terbesar dalam tempoh tujuh tahun bersama Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika China terus mengukukan kehadirannya di Laut China Selatan, lapor laman berita Wion News.
Latihan tahunan dinamakan Balikatan itu berlangsung hingga 8 April ini dengan penyertaan hampir 9,000 anggota tentera laut, udara, darat dan marin termasuk 5,100 askar AS dengan tujuan untuk memperkasakan keupayaan dan kesiapsiagaan tentera kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran dunia sebenar, kata pegawai tentera Filipina dan AS.
Sejak mula berkuasa pada 2016, Presiden Rodrigo Duterte cuba merapatkan hubungan dengan China sebagai pertukaran kepada pinjaman, bantuan dan pelaburan oleh Beijing. Beliau merenggangkan hubungan dengan Washington yang merupakan sekutu Manila.
Bagaimanapun, Duterte menarik balik ugutan untuk membatalkan perjanjian pertahanan Filipina-AS yang berusia dua dekad pada tahun lalu. Perjanjian itu membenarkan kehadiran tentera Pentagon di negara Asia Tenggara itu.
“Kami menghantar mesej kepada dunia bahawa perikatan antara kedua-dua negara adalah paling kukuh berbanding masa lalu,” kata Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dalam satu kenyataan.
Latihan tentera kali ini merangkumi aspek keselamatan maritim, operasi amfibia, tembakan peluru hidup dan antikeganasan di samping operasi bantuan kemanusiaan serta bantuan bencana.
Latihan kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu menumpukan kepada potensi konflik di Laut China Selatan yang hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing.
Latihan Balikatan pada 2017 dikurangkan hampir separuh kepada 5,500 askar berbanding tahun sebelumnya dan tidak melibatkan latihan tempur atas arahan Duterte yang menganggapnya sebagai halangan dalam memulihkan hubungan dengan China.
Latihan tembakan peluru hidup kembali dilakukan pada 2018 dan 2019 tetapi skala Balikatan kekal kecil, manakala pada 2020, latihan tentera itu dibatalkan akibat pandemik sementara hanya 640 anggota tentera menyertainya tahun lalu.
Di sebalik usaha untuk membina hubungan lebih rapat, Manila semakin mengkritik tindakan Beijing termasuk perbuatan ‘mengepung’ bot-bot nelayan Filipina dekat Kepulauan Spratly oleh militia China dan tindakan menyekat misi menghantar bekalan kepada tentera Filipina pada tahun lalu.
China menuntut hampir kesemua Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan untuk kargo bernilai AS$3 trilion (RM12.67 trilion) setahun. Laut itu turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. – Agensi