BERA – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh daripada Jambatan Guai di sini Ahad lalu ditemukan lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemukan pada pukul 4.15 petang oleh pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa ditemukan terapung dengan kaki kanan tersangkut di pokok dekat Lubuk Kertau Chenor iaitu kira-kira 30 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Mayat mangsa yang masih berpakaian itu diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya di sini hari ini.
Ahad lalu seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada Jambatan Guai ke dalam Sungai Pahang di sini.
Mangsa Mohd Ibrahim Suhaimi,28, dipercayai datang ke jambatan berkenaan menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 4 petang sebelum terjatuh ke dalam Sungai Pahang. – KOSMO! ONLINE