fbpx

Pelanggan cedera, kereta rempuh kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beginilah keadaan kedai makan tersebut selepas dirempuh Toyota Vios yang dipandu seorang wanita warga emas dalam kejadian semalam.

KAJANG – Mahu pitam dipercayai punca seorang wanita warga emas gagal mengawal kenderaan lalu merempuh sebuah motosikal dan sebuah kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, dekat sini semalam.

Rempuhan itu menyebabkan seorang pelanggan wanita yang kebetulan berada dalam kedai makan berkenaan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita warga emas berusia 63 tahun.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika kenderaan itu berada di kawasan parkir hadapan kedai makan terbabit dan pemandunya dipercayai mengalami pitam dan ingin menekan brek.

“Bagaimanapun dia dikatakan telah tertekan pedal minyak menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu merempuh sebuah motosikal dan terperosok masuk ke dalam kedai makan serta melanggar peralatan di dalam kedai,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, seorang pelanggan wanita yang ketika itu sedang mengambil makanan telah mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun pelanggan lain yang berada di dalam kedai makan tersebut tidak mengalami kecederaan, manakala pemilik kedai hanya mengalami kerosakan pada harta benda,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pemandu kenderaan agar memastikan tahap kesihatan yang baik sebelum memandu kenderaan di atas jalan raya untuk mengelak berlakunya kemalangan.

“Pengusaha premis perniagaan makanan juga dinasihatkan agar memasang besi keselamatan atau struktur kukuh agar dapat mengelak kemalangan yang seumpamanya hingga memasuki kedai atau premis perniagaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI