Oleh WAT KAMAL ABAS
BAGAN SERAI – Seorang penternak ikan air tawar mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM40,000 apabila ikan ternakannya yang dibela di dalam sangkar di Parit Gabis dekat sini mengalami fenomena ‘mabuk’ malah ada yang mati semalam.
Mohd. Yaacob Abdul Hamid, 55, berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut ketika ingin memberi makan ikan tersebut pada pagi semalam.
Katanya, kejadian tersebut berlaku berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan oksigen kerana keadaan air yang cetek memandangkan pintu utama air dari ban tali air ke parit terusan ditutup untuk kerja-kerja naik taraf.
“Saya terkejut apabila melihat ikan-ikan seperti talapia merah, puyu Siam, lampan dan baung di dalam enam sangkar dalam keadaan ‘mabuk’ dan ada yang terapung di permukaan air.
“Sangkar yang paling teruk terjejas adalah sangkar ikan baung, lampan dan anak ikan talapia merah yang berukuran kira-kira tujuh sentimeter,” katanya ketika ditemui di Parit Gabis di sini.
Tambah Mohd. Yaacob, dia kerugian lebih RM40,000 untuk ikan baung sahaja apabila 1.6 tan ikan tersebut yang biasanya dijual dengan harga RM25 sekilogram itu mengalami fenomena ‘mabuk’ dan mati.
“Kerugian tersebut tidak termasuk ikan lampan dan anak ikan talapia merah yang dianggarkan kira-kira 600 kg.
“Ini kali pertama kejadian ini berlaku sejak saya mula mengusahakan ternakan ikan sangkar sejak sepuluh tahun lalu,” katanya.
Katanya, semua ikan ini yang diternak di parit terusan di hadapan rumahnya itu dipasarkan untuk pasaran tempatan dan kegunaan sendiri.
Melihat keadaan tersebut, Mohd. Yaacob akhirnya membuat keputusan untuk mengagihkan ikan ternakannya secara percuma kepada penduduk kampung.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Salwiah Ismail, 46, memberitahu Mohd. Yaacob memberikan hampir 30 kg ikan lampan dan baung kepadanya dan dia bercadang untuk menjadikan sebahagian ikan tersebut sebagai ikan pekasam dan ada yang akan dikeringkan.
Semalam, beberapa keping gambar di tempat kejadian tular di media sosial Facebook yang menyatakan ia merupakan fenomena ikan ‘mabuk’ di Parit Gabis di sini. – K! ONLINE