fbpx

Perang Rusia-Ukraine ancam rantaian makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMANDANGKAN Rusia dan Ukraine merupakan dua pengeluar gandum terbesar dunia, krisis yang berlaku bakal menyebabkan harga komoditi tersebut meningkat.

KRISIS ketegangan antara Rusia dan Ukraine memberi ancaman pada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia, sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk.

Terdapat tiga elemen berhubung kait dengan krisis yang berlaku di kedua-dua negara ini terhadap rantaian makanan.

Pertama, kita perlu melihat sejauh mana krisis geopolitik kedua-dua negara ini mempengaruhi harga gandum dan jagung dunia selain bekalan minyak bunga matahari antarabangsa.

Elemen kedua pula tentang pengeluaran bahan input pertanian seperti urea yang mana pengeluar utamanya adalah Rusia.

Elemen ketiga adalah sejauh mana sekatan antarabangsa terhadap Rusia termasuklah segala aset logistik dan pengangkutan akan memberi kesan.

Ukraine dan Rusia merupakan dua pengeluar gandum terbesar di dunia. Rusia membekalkan lebih 30 peratus bekalan gandum dunia dan krisis ini pasti menyebabkan harga komoditi itu meningkat.

Gandum sangat penting buat Moscow kerana Rusia menjadi pengeksport utama bijirin tersebut di dunia, manakala Ukraine pula di tempat keempat, menurut anggaran Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

Namun, kedua-dua negara sedang mengalami pertelingkahan politik. Tanpa sedar ia mengundang kepada ketirisan sumber makanan dunia.

Kedua-dua negara itu menyumbang hampir satu per tiga daripada perdagangan gandum dunia.

Selain itu, dari segi pengeluaran jagung, Ukraine menduduki tempat keempat dalam kalangan pengeksport dan menyumbang kira-kira 23 peratus daripada perdagangan global.

Harga pasaran bijirin itu telah bertukar tiga kali dalam masa kurang 24 jam baru-baru ini.

Menurut laporan Bloomberg, harga gandum mula meningkat ke paras tertinggi iaitu AS$9.43 (RM39.79) per busyel setakat 25 Februari iaitu tertinggi dalam tempoh 13 tahun.

Berdasarkan rekod perdagangan dunia pada 4 Mac 2022, terdapat kenaikan sebanyak 7.2 peratus harga gandum dunia menjadikannya AS$11.33 (RM47.81) per busyel sebelum diperdagangkan dengan harga AS$11.15 (RM47.05).

Perkara ini memberi kebimbangan kepada warga dunia berhubung faktor inflasi.

SEKATAN perjalanan kapal-kapal Rusia oleh banyak negara lain akan memberi tekanan kepada perjalanan bahan makanan dunia. – GAMBAR HIASAN

Tidak hanya gandum, kedua-dua negara itu juga penyumbang 78 peratus sumber eksport minyak bunga matahari.

Ini bakal membawa impak yang besar untuk sektor pertanian global termasuk Malaysia yang berdepan dengan pelbagai kenaikan harga pengeluaran pertanian sejak akhir-akhir ini.

Antaranya, kenaikan harga jagung import yang secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan telur.

Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa isu kenaikan harga ini akan berakhir dalam tempoh 4 bulan akan datang iaitu dijangka pada Mei 2022, konflik Rusia-Ukraine juga bakal meningkatkan harga input pertanian berasaskan baja urea.

Baja ini juga dikenali sebagai Carbamide dan merupakan baja yang mengandungi 46 peratus nitrogen dengan formula (NH2)2CO yang fungsinya menyerupai baja kompos dalam tanah.

Krisis Rusia-Ukraine juga akan mengakibatkan sekatan ekonomi, perdagangan, diplomatik dan perjalanan. Langkah itu bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Rusia dan menghukum pemerintah mereka kerana mengambil tindakan ketenteraan secara agresif dengan melanggar undang-undang antarabangsa.

Kesatuan Eropah (EU), Britain, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka sudah meningkatkan sekatan terhadap Rusia sejak Ukraine diserang.

Negara-negara Barat juga mempunyai pilihan untuk menyekat eksport minyak dan gas Rusia yang membentuk 20 peratus ekonomi negara itu.

Oleh itu, tindakan enggan membeli minyak dan gas Rusia adalah satu sekatan yang amat berat, namun ia juga akan menjejaskan negara Barat yang bergantung padanya.

Malaysia turut menyekat ekonomi dan aset logistik Rusia.

Menurut data trafik perkapalan, sebuah kapal yang membawa bekalan minyak mentah dari Rusia yang disasarkan sekatan AS sedang menuju ke Malaysia. Kapal bernama Linda dalam dokumen Perbendaharaan AS itu dijangka tiba di pelabuhan Sungai Linggi telah dilarang berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi.

Pihak berkuasa Perancis turut merampas sebuah lagi kapal, Baltic Leader yang dikatakan milik PSB Leasing.

Sekatan seperti ini sudah pasti akan menambahkan tekanan perjalanan bahan makanan dunia kerana import-eksport Eropah ke benua lain didominasi oleh Rusia iaitu 38 peratus kapal pengangkut laut utama dunia milik syarikat pengangkutan negara itu.

Pasaran komoditi pertanian makanan kini sering mengalami lonjakan dan kejatuhan yang menakjubkan. Jika kita kekal dalam konflik yang tidak stabil, Rusia serta Ukraine akan rugi dalam hal ini.

Selain Ukraine dan Rusia, negara-negara yang paling terjejas ialah pembeli gandum terbesar dari kedua-dua negara berkenaan iaitu Mesir, Turki, keseluruhan negara ASEAN dan sebahagian besar negara Timur Tengah.

“Mata wang Rusia dan Ukraine akan susut nilai dan hanya sedikit (pembeli) yang akan mengambil risiko untuk membeli dari tempat yang jauh tanpa terdapat jaminan penghantaran,” kata Gautier Le Molgat iaitu seorang penganalisis di syarikat perunding, Agritel seperti yang dilaporkan AFP baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI