fbpx

Persiapan ke Sukan SEA tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN Wei Chong-Kai Wun menjadi salah satu sandaran negara pada temasya Sukan SEA nanti.

KETIADAAN ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele yang tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka tidak memberi banyak masalah kepada para pemain.

Pemain beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong menganggap pemergian jurulatih dari Indonesia itu tidak menjejaskan persiapan mereka bagi menghadapi temasya Sukan SEA Vietnam Mei depan.

Dia percaya barisan kejurulatihan sedia ada mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Flandy bagi memastikan mereka berada pada prestasi terbaik sebelum berangkat ke Hanoi nanti.

“Saya sudah tahu berita mengenai jurulatih (Flandy) akan meninggalkan BAM awal bulan depan. Saya fikir tidak ada masalah besar untuk kami buat persiapan untuk ke Sukan SEA walaupun tanpa beliau.

“Kami juga masih ada jurulatih-jurulatih lain yang boleh membantu kami untuk mencapai prestasi yang dimahukan sebelum temasya Sukan SEA membuka tirainya nanti. Saya harap beliau berjaya di tempat baharu nanti,” kata Wei Chong.

Walaupun tidak bimbang dengan ketiadaan Flandy selepas ini, namun dia yang bergandingan bersama Tee Kai Wun tetap menghargai sumbangan jurulatih berusia 48 tahun itu sehingga mereka mampu menyertai kejohanan utama.

“Agak terkilan dan sedih memandangkan beliau membimbing saya selama dua tahun. Beliau banyak membantu sejak saya mengalami kecederaan sehinggalah mampu menyertai kejohanan-kejohanan besar, saya sangat berterima kasih kepadanya,” ujar Wei Chong.

Sebagai rekod, sejak berada di bawah bimbingan Flandy, Wei Chong-Kai Wun menunjukkan banyak peningkatan apabila berjaya memenangi tiga kejohanan termasuk Terbuka Poland serta Kejohanan Antarabangsa Sepanyol dan India. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI