fbpx

Agensi kawal sempadan sedia terima pengembara Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUZAINI RAIS (berdiri, berbaju kelabu) menunjukkan isyarat bagus ketika bergambar bersama Platun Harimau PGA dan tentera Thailand di sempadan Wang Kelian, Padang Besar, Perlis hari ini. - SYED AZLAN SAYID HIZAR

PADANG BESAR – Agensi kerajaan berkaitan sempadan kini bersedia untuk menerima kemasukan pengembara Thailand menjelang pembukaan sempadan di Pos Imigresen Wang Kelian pada 1 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, pelbagai persediaan telah dilakukan beberapa agensi terbabit di kawasan tersebut.

Katanya, pembukaan sempadan negara pada 1 April dilakukan dengan berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti kesihatan, keselamatan dan sebagainya.

“Buat masa ini, kira-kira 30 orang anggota dan pegawai seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguruskan kemasukan pengembara dari Thailand di pos berkenaan.

“Bagaimanapun jumlah tersebut bergantung kepada situasi dan jika terlalu ramai kemasukan dari negara jiran, bilangan petugas mungkin perlu ditambah,” katanya ketika ditemui di Pos Imigresen Wang Kelian di sini hari ini.

Beliau hadir meninjau persiapan pembukaan sempadan dan kesiapsiagaan kawalan sempadan yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tentera Thailand di pintu masuk kedua-dua negara.

Tambahnya, buat masa ini, rakyat Malaysia masih belum mendapat kebenaran melintasi sempadan negara melalui Pos Imigresen Wang Kelian untuk ke Thailand.

“Sekiranya mana-mana individu yang ingin pergi ke Thailand, mereka boleh memasuki negara itu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Bagi pengembara dari Thailand pula, mereka perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan melalui SOP yang ketat seperti mengambil suhu, maklumat pengembara dan sebagainya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI