KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd (Deftech) memberi jaminan ke atas semua aset yang dihasilkan memenuhi piawaian penyelenggaraan alat ganti dan komponen seperti yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, ketetapan jaminan tersebut dibuat setelah semua syarikat pembekal yang bekerjasama dengan Deftech menandatangani perjanjian kolaborasi antara kedua-dua pihak.
“Apa yang penting adalah untuk menjawab persoalan yang sering timbul di mana kita mahu memastikan setiap alatan atau kenderaan mampu bertahan untuk tempoh 15 tahun akan datang.
“Justeru, kita bersama-sama rakan strategik memastikan setiap pembekalan alat ganti dan komponen memenuhi bekalan dan piawaian mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), semalam.
Fazley berkata, jaminan tersebut secara tidak langsung meningkatkan potensi syarikat tempatan dalam industri terutama membabitkan sektor pertahanan. – KOSMO! ONLINE.