fbpx

Bomba hantar 2,500 kilogram makanan ke kampung Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekalan makanan seperti beras, makanan tin dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 169 keluarga Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 2,500 kilogram bekalan makanan dengan helikopter kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini yang terputus hubungan akibat banjir lumpur sejak kelmarin.

Bekalan makanan seperti beras, makanan tin dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 169 keluarga Orang Asli di 15 kampung di pos berkenaan.

Semua bekalan makanan itu dihantar melalui helikopter Agusta Westland 189 berikutan jalan darat ke kawasan itu tidak boleh dilalui termasuk tiga jambatan telah runtuh akibat kejadian itu.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, helikopter dari Pangkalan Udara Subang, Selangor itu digunakan untuk mempercepatkan operasi penghantaran bekalan ke kawasan berkenaan.

Katanya, bomba berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 9 pagi dan tiba di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 10.10 pagi tadi.

“Bungkusan makanan dihantar dari padang Balai Bomba Gua Musang ke Pos Gob yang mengambil masa 15 minit.

“Kita juga akan melaksanakan tiga penerbangan bagi mengangkut barang makanan berkenaan,” katanya.

Mohd. Farhan berkata, seramai tujuh anggota terlibat dalam misi menghantar bantuan makanan itu.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan kira-kira 500 penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini terputus hubungan luar selepas kejadian banjir lumpur.

Hujan lebat di kawasan itu turut menyebabkan kawasan penempatan dan tanaman seperti pisang dan ubi kayu musnah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, beliau akan turut serta ke kampung berkenaan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada Orang Asli.

Katanya, pihaknya menyedari 169 keluarga Orang Asli di Pos Gob terputus makanan kerana banjir lumpur selepas dimaklumkan penduduk awal pagi semalam.

“Saya sendiri mengambil inisiatif menyediakan keperluan makanan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memohon bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bakul makanan itu kepada Orang Asli terbabit.

“Kita tidak boleh menghantar keperluan itu melalui jalan darat kerana terputus hubungan jalan rosak teruk dan jambatan runtuh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI