fbpx

LZS agih bantuan Ramadan dan Syawal lebih RM28.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aziz (belakang lima kiri) dan Mohd.Sabirin (belakang enam kiri) bersama wakil penerima zakat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Sejumlah RM28,637,750 bantuan zakat diagihkan kepada 62,769 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri bagi menyambut Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, setiap daripadanya akan mendapat bantuan di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan mulai hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai dan serahan tunai.

“Pemakluman berkenaan bantuan tersebut kepada penerima yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat.

“Selain itu, asnaf boleh membuat semakan status bantuan secara dalam talian di ezo.zakatselangor.com.my,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal Bagi Tahun 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong hari ini.

Simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kepada 20 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelas Mohd. Sabirin, daerah Klang mencatatkan jumlah agihan tertinggi melibatkan peruntukan RM5,189,500 kepada 11,232 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Tambah beliau, ia diikuti Petaling dengan RM5,186,200 kepada 11,186 asnaf dan Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,124,050 kepada 8,832 asnaf. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI