PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang bakal berlaku di Perlis, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak serta Sabah sehingga pukul 9 malam hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebooknya berkata, penduduk di seluruh kawasan terlibat dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran ribut petir pada malam ini.
“Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Lipis, Jerantut, Bentong, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin) serta keseluruhan negeri Perlis.
“Selain itu, bagi negeri Selangor pula, hujan lebat serta ribut petir lebih tertumpu sekitar Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, cuaca buruk yang sama juga bakal berlaku di Negeri Sembilan temasuklah daerah Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, manakala beberapa kawasan di Johor seperti Segamat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi serya Johor Bahru.
“Di Sarawak, antara daerah terlibat adalah Samarahan (Simunjan), Sri Aman (Sri Aman) dan Limbang.
“Hujan lebat dijangka turut melanda sekitar Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE