LONDON – Kira-kira 300 bayi dilaporkan meninggal dunia atau dibiarkan mengalami kecacatan otak disebabkan oleh kekurangan penjagaan di sebuah yayasan milik Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di daerah Shropshire, England, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Siasatan yang dilakukan selama lima tahun dan dijangka selesai pada minggu hadapan itu mendapati bahawa ibu-ibu mengandung tidak dibenarkan bersalin menerusi kaedah pembedahan dan terpaksa mengalami kelahiran traumatik.
Perkara tersebut didakwa berlaku dalam usaha untuk mencapai sasaran kelahiran secara normal, demikian menurut akhbar The Sunday Times.
Pasukan penyiasat menganalisis pengalaman 1,500 keluarga di hospital yayasan NHS di Shrewsbury and Telford antara tahun 2000 hingga 2019.
Sekurang-kurangnya 12 ibu didapati telah meninggal dunia semasa melahirkan anak. Beberapa keluarga dilaporkan kehilangan lebih daripada seorang anak dalam kejadian berasingan, lapor akhbar itu.
Seorang bidan pakar, Donna Ockenden yang mengetuai siasatan bersama lebih 90 bidan lain dan doktor berkata, pasukannya terkejut dan sedih apabila mengetahui skala tragedi itu.
Laporan Ockenden mendedahkan bahawa beratus-ratus bayi meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan atau dibiarkan mengalami cacat otak secara kekal. Ramai bayi turut mengalami keretakan tengkorak, patah tulang atau ditinggalkan dengan kecacatan kekal.
“Terdapat banyak peluang untuk sedar bahawa wujudnya masalah dalam agensi kerajaan tersebut,” kata Ockenden. – AFP .