FLORIDA – Pemain berusia 16 tahun dari Republik Czech, Linda Fruhvirtova sekali lagi mencuri tumpuan selepas mara ke pusingan keempat pada Terbuka Miami sejurus bekas pemain No.1 dunia, Victoria Azarenka menarik diri di pusingan ketiga.
Fruhvirtova yang menyertai Terbuka Miami dengan tiket wildcard tampil cemerlang apabila mendominasi saingan 6-2, 3-0 sebelum juara dua kali Terbuka Australia, Azarenka menarik diri.
Hasil kemenangan itu, Fruhvirtova yang menduduki ranking 279 dunia menjadi pemain perseorangan wanita termuda berjaya memenangi pusingan ketiga sejak Tatiana Golovin melakukannya pada 2004.
Fruhvirtova yang menumbangkan pilihan No.20, Elise Mertens 7-5, 2-6, 6-1 di pusingan kedua dan terkini Azarenka menjadi mangsa keduanya mengakui, dia berbangga dengan pencapaian tersebut.
“Sebelum dijadualkan berdepan Azarenka, saya yakin ia bukan satu tugas mudah apabila beraksi menentang pemain berpengalaman seperti Azarenka.
“Tetapi pada perlawanan tersebut, saya melihat Azarenka tidak beraksi dengan baik ketika itu dan saya fikir mungkin dia bergelut dengan kecederaan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi apa yang pasti, saya bangga berkongsi gelanggang dengannya. Apa pun, saya gembira dengan kemenangan ini dan mungkin ini adalah kenangan yang saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Hasil kemenangan tersebut, Fruhvirtova akan berdepan pemain pilihan kelima, Paula Badosa selepas pemain Sepanyol itu berjaya menyingkirkan Yulia Putintseva 6-3 6-2 pagi semalam. – AGENSI