JAKARTA – Timbalan Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria memaklumkan bahawa Pemerintah Wilayah DKI kota raya itu sedang bersiap sedia untuk mempercepat pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak untuk sebulan akan datang, lapor laman berita Kompas semalam.
Langkah tersebut dilakukan sebagai salah satu bentuk sokongan selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan vaksinasi dos penggalak sebagai syarat pulang ke kampung halaman semasa Ramadan.
“Ini bermakna kita mesti segera mempersiapkan diri dalam tempoh sebulan untuk dipercepatkan daripada biasa. Jadi sekarang kita akan mempercepatkannya,’’ kata beliau.
Dengan keizinan oleh pemerintah pusat, Riza berkata bahawa ramai warga kota raya itu akan pulang ke kampung halaman semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Sudah tentu kita sokong, bermakna ramai warga Jakarta akan pulang,’’ jelas Riza.
Langkah pecutan vaksinasi akan diambil Pemerintah Wilayah DKI Jakarta dengan menyediakan infrastruktur dan menambah pusat vaksinasi.
“Dimulakan dengan sumber manusia, pusat vaksin dan seterusnya pengurusan, semua akan diperbaiki,’’ tambah Riza.
Riza berjanji pihaknya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan pencapaian vaksin dos penggalak di Jakarta.
“Ini adalah cabaran untuk kami dapat melaksanakannya dengan baik,’’ katanya. – Agensi