fbpx

PBSM edar kit keperluan untuk pesakit Covid-19 B40 kuarantin di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIT tersebut mengandungi peralatan seperti pengukur kadar oksigen dalam badan oxymeter, cecair pembasmi kuman dan ubat-ubatan.

PENULARAN pandemik Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi kesan kepada semua orang.

Malah, di Malaysia sendiri sehingga kini sudah empat juta rakyat telah dijangkiti virus tersebut.

Mereka yang dijangkiti dengan Covid-19 juga diarah untuk melakukan kuarantin kendiri bagi menghalang virus tersebut terus merebak.

Dalam usaha membantu pesakit yang sedang menjalani kuarantin di rumah, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia menunjukkan keprihatinan dengan melaksanakan program CovidHomeCare Kit.

Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah berkata, program tersebut adalah satu inisiatif yang dilaksanakan sebagai bantuan kepada pesakit Covid-19 yang kurang bernasib baik dan sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Dengan lonjakan kes Omicron kebelakangan ini, ia amat penting untuk orang ramai membuat persediaan diri dengan memantau sebarang gejala dengan cekap.

“Namun, masih ramai golongan kurang bernasib baik dan berisiko memerlukan sokongan tambahan dalam mempelajari cara melindungi dan mencegah kesan lebih buruk jangkitan Covid-19,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

HAKIM

Dalam pada itu, Hakim menjelaskan, kumpulan sasaran yang akan menerima kit tersebut adalah mereka daripada keluarga B40, Orang Asli dan mereka yang mengalami masalah kesihatan atau golongan yang memerlukan.
CovidHomeCare Kit dilengkapi dengan peralatan seperti alat pengukur kadar oksigen dalam badan (oxymeter), kit ujian calitan, termometer, pelitup muka, cecair pembasmi kuman, paracetamol, lozenges dan ubat-ubatan asas lain untuk persediaan penjagaan Covid-19 di rumah.

“Ubat-ubatan asas ini penting bagi mereka yang kuarantin di rumah dan amat diperlukan kerana kita masih belum ada ubat khusus untuk Covid-19.

“Gejala-gejala Covid-19 adalah seperti demam biasa dan sakit tekak, jadi kita juga bekalkan ubat-ubat untuk masalah ini,” jelasnya.

Tambahnya, begitu juga dengan peralatan seperti oxymeter yang membolehkan mereka sentiasa memantau tahap oksigen.

Di dalam kit tersebut, PBSM juga menyediakan panduan khusus tentang apa yang perlu dilakukan ketika kuarantin di rumah.

Dalam usaha menyediakan kit tersebut, PBSM telah melancarkan program pengumpulan dana dan beberapa pihak telah tampil memberi bantuan.

Melalui dana yang diperoleh, mereka telah berjaya mendapatkan 10,000 kotak CovidHomeCare Kit.

Sebanyak 1,000 kit telah disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, baki 9,000 kit lagi akan diedarkan di 11 buah negeri di seluruh Malaysia.

PBSM menerusi program CovidHomeCare Kit mengedarkan kit dilengkapi barangan keperluan bagi pesakit Covid-19 yang melakukan kuarantin di rumah.

Kit tersebut hanya akan diedarkan kepada mereka yang positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin di rumah.

Untuk mendapatkan kit tersebut, orang ramai boleh melayari www.redcrescent.org.my/covidhomecare-kit/ dan daftar melalui Google form atau layari laman media sosial Instagram atau Facebook @MalaysianRedCrescent.

Di samping itu, kit juga boleh dipohon melalui talian 1700-811-007 untuk Semenanjung Malaysia dan 088-416-911 bagi Sabah dan Sarawak.

Kit tersebut boleh diambil dari pusat PBSM ataupun pasukan PBSM juga sedia untuk menghantar kit ini dengan percuma di sebelas negeri iaitu Lembah Klang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Hakim bagaimanapun menjelaskan, bilangan agihan kit tersebut juga bergantung kepada stok.

“Ketika ini, kita hanya memiliki sebanyak 9,000 stok kit untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Namun begitu, kami akan menambah bilangan kit ini jika ada pihak yang turut serta menyumbang dalam pengumpulan dana,” terangnya.

Tambahnya lagi, PBSM juga mengalu-alukan pihak-pihak di luar sana sama ada swasta ataupun individu yang ingin menyumbang dalam pengumpulan dana bagi membolehkan agihan kit tersebut diteruskan pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN