fbpx

Jangan abaikan SOP ketika fasa endemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

PENULARAN pandemik Co­vid-19 yang melanda dunia pada penghujung 2019 ternyata memberi kesan yang amat besar kepada kehidupan masyarakat global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik kerana situasi jangkitannya yang tidak terkawal di banyak negara dan wilayah di seluruh dunia.

Namun kini, beberapa negara telah bersedia untuk mengambil langkah untuk melaksanakan fasa peralihan dari pandemik kepada endemik.

Malaysia juga turut mengambil keputusan itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini.

Persoalannya, adakah negara telah bersedia untuk peralihan fasa ke endemik?

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk peralihan ke fasa endemik.

Menurutnya, untuk peralihan ke fasa endemik ini, beberapa indikator penting telah dinilai oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Walaupun bilangan kes ha­rian adalah tinggi, namun lebih 90 peratus dalam kategori ringan iaitu satu dan dua. Selain itu bilangan kematian yang dicatatkan juga tidak terlalu tinggi.

“Indikator lain yang dinilai adalah kadar liputan vaksin lengkap dan pemberian dos penggalak yang tinggi. Dalam masa yang sama fasiliti kesihatan juga tidak lagi terbeban,” jelasnya.

Tambahnya, selain itu pemahaman dan kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) juga memuaskan.

Zainal Ariffin berkata, apabila memasuki fasa endemik, dos penggalak ini masih perlu diambil terutamanya bagi mereka yang belum berbuat demikian.

Beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa pastikan SOP dipatuhi.

“Kita boleh bergerak bebas, tetapi elakkan daripada berlaku kesesakan, sentiasa amalkan kuarantin dan ujian kendiri jika bergejala.

“Teruskan kehidupan dan aktiviti rutin seperti biasa tetapi kita haruslah sentiasa peka de­ngan jangkitan dan dapatkan nasihat perubatan sekiranya perlu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Prof Madya Imunologi dan Penyakit Berjangkit Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Yonatan Grad berkata, jangkaan bahawa Co­vid-19 akan menjadi endemik pada asasnya memberi makna bahawa wabak itu tidak akan berakhir dan virus itu tidak akan menghilang.

“Sebaliknya, Covid-19 akan dianggap sebagai endemik apabila orang ramai mendapat perlin­dungan imun daripada virus.

“Ini akan mengurangkan jangkitan, serta kurang kemasukan ke hospital akibat Covid-19 walaupun virus itu berterusan ada,” katanya.

Memandangkan virus boleh merebak di mana-mana dan individu juga mudah terdedah kepada penyebaran, adalah sukar untuk menjangkakan garis masa untuk peralihan Covid-19.

Grad berkata, semua itu bergantung kepada faktor seperti kekuatan dan tempoh perlin­dungan imum dan jangkitan semula jadi, pola hubungan antara satu sama lain yang memboleh­kan penyebaran dan keboleh jangkitan virus.

“Jadi peralihan Covid-19 mungkin berbeza jauh daripada apa yang kita lihat dengan peralihan wabak lain seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku pada 2003 dan E­bola pada 2014.

“Ini kerana tindak balas he­terogen terhadap virus tersebut di seluruh dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI