LONDON – Kerajaan Britain menerusi rancangan baharu akan menetapkan tempoh pembukaan semua sekolah di negara itu kepada sekurang-sekurangnya 32.5 jam seminggu, lapor akhbar Mirror UK.
Walaupun sebahagian besar sekolah di Britain beroperasi melebihi tempoh tersebut, sekitar 14 peratus masih dibuka kurang dari 32 jam seminggu.
Menteri-menteri berkaitan berkata, mereka mahu menghapuskan isu percanggahan waktu pembukaan sekolah yang diputuskan oleh guru besar dan pengetua itu menjelang 2023.
Kerajaan Britain menyifatkan perubahan waktu tersebut yang akan bermula September ini, adalah bagi memastikan kanak-kanak mempunyai akses kepada pelbagai subjek dan sokongan pembelajaran selepas mereka ketinggalan akibat pandemik Covid-19.
Tempoh pembukaan selama 32.5 jam seminggu itu memerlukan sekolah-sekolah di Britain dibuka dari pukul 8.45 pagi hingga 3.15 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Setiausaha Pendidikan, Nadhim Zahawi berkata, kanak-kanak yang menerima kurang 20 minit masa pembelajaran akan ketinggalan selama dua minggu dalam tempoh setahun.
“Purata hari sesi persekolahan seminggu adalah 32.5 jam. Beberibu-ribu sekolah mempunyai waktu pembukaan kurang 30 minit daripada yang ditetapkan.
“Saya mahu semua sekolah mula melaksanakan waktu operasi baharu itu lewat tahun ini, namun, saya tahu ada yang akan menghadapi masalah logistik. Itu sebabnya kami memberi tempoh persiapan selama beberapa bulan,’’ kata beliau kepada stesen berita Sky News.
Menteri sama turut memberitahu stesen penyiaran BBC bahawa kerajaan akan merangka rancangan waktu operasi baharu sekolah-sekolah di Britain bermula minggu depan . – Agensi