JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia dikecam netizen kerana tidak membantu neneknya yang terjatuh dan terbaring di atas tanah, sebaliknya hanya merakam kejadian itu, lapor laman Berita Hits hari ini.
Berdasarkan video yang tular di laman perkongsian gambar Instagram, lelaki itu pada mulanya berlari ke tepi rumah mereka sambil beristighfar apabila melihat neneknya terbaring di tanah.
Warga emas itu tidak dapat bangun kembali atau menggerakkan anggota badannya.
Lelaki itu berulang kali memanggil nama neneknya dan menggoyang-goyangkan tubuh wanita itu.
Dia bagaimanapun tidak membantu neneknya untuk kembali berdiri, sebaliknya meneruskan rakaman kejadian itu.
Lelaki sama kemudian memanggil ibunya untuk membantu warga emas tersebut yang kelihatan berada dalam kesakitan.
Seorang wanita kemudian tiba dan membantu memapah warga emas tersebut.
Video itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Cucu tak guna,” kata seorang pengguna.
“Kalau saya berada di situ, saya sumpah seranah dia berhabis-habisan dahulu,” kata netizen lain. – AGENSI