fbpx

Sindiket edar dadah di kawasan Felda tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam beberapa siri serbuan ketika sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan hari ini. /FOTO SHEIKH AHMAD RAZIF

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Felda di daerah ini selepas menahan empat lelaki serta merampas dadah jenis syabu dan heroin dianggarkan bernilai RM76,164.

Dalam empat serbuan berasingan itu, polis berjaya menyita wang tunai dan harta dianggarkan bernilai RM559,928 menjadikan keseluruhan rampasan termasuk dadah RM636,092.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Mahkota di sini pada pukul 5 petang Khamis lalu yang berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dan merampas dadah jenis syabu seberat 230.5 gram.

“Hasil maklumat serbuan pertama, pada pukul 6.30 petang hari yang sama polis melakukan serbuan kedua dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Mahkota, di sini yang dipercayai menjadi ‘master mind’ dalam sindiket tersebut.

“Hasil interogasi daripada tangkapan kedua, seorang lelaki berusia 32 tahun diberkas dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Plaza Tol Gambang serta merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 2,274.25 gram dan dadah disyaki jenis syabu seberat 1,038 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan keempat pada pukul 11.30 malam hari yang sama polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di tepi jalan hadapan perhentian bas simpang Lepar Hilir Gambang di sini yang dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dalam sindiket berkenaan.

Menurutnya, nilai rampasan dadah berjumlah RM76,164 melibatkan dadah disyaki jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM30,474 dan syabu yang bernilai RM45,690.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini memperolehi bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda sekitar daerah ini,” ujarnya.

Katanya, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI