KUALA LUMPUR – Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Filipina dan Indonesia menggariskan tiga perjanjian baharu bagi mengukuhkan keselamatan pertahanan di rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, TCA hari ini adalah penting, dan berfungsi sebagai bukti komitmen kuat negara terhadap pertahanan dan keselamatan perairan terutama di Laut Sulu dan Sulawesi.
“Antara perjanjian yang digariskan adalah untuk mengembangkan TCA melangkaui sfera pertahanan semasa dengan berkesan menggabungkan pendekatan pelbagai agensi, yang kita rasa perlu melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.
“Selain itu, kita akan mempercepatkan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Maritim Trilateral (TMP LO) di setiap negara untuk membolehkan pertukaran maklumat yang berkesan, pemantauan dan pelaksanaan pengawasan maritim dan aktiviti udara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat TCA di peringkat menteri dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto.
Hishammuddin berkata, dalam membendung keganasan jenayah aktiviti perhubungan di rantau ini, penekanan yang lebih besar akan dilakukan dalam perisikan untuk pengawasan masa depan operasi untuk meningkatkan produktiviti.
Jelasnya, mesyuarat TCA itu diadakan sekurang-kurangnya setiap tahun sekali di kalangan tiga negara tersebut untuk meningkatkan penglibatan dan komitmen strategik.
“Saya ingin tekankan bahawa TCA telah dan adalah penting dalam bertindak sebagai pencegahan jenayah-keganasan. Sebagai contoh, insiden sifar penculikan-untuk-tebusan (KFR) yang dilaporkan pada tahun 2021.
“Kami telah menunjukkan kepada dunia bahawa keselamatan serantau yang kukuh adalah jalan ke hadapan di samping memastikan keselamatan rakyat kekal diutamakan pada saat kritikal ketika kita memasuki era pasca-pandemik,” katanya. -KOSMO! ONLINE